Halaman

30 January 2013

Terengganu penaja terbesar LTdL 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Terengganu menjadi penaja utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 apabila menyumbang RM2 juta bagi menjayakan kejohanan berbasikal paling berprestij di Asia itu yang bermula 20 Februari depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini pihaknya memberi tajaan terbesar untuk kejohanan berkenaan sempena dengan program Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Tahun lalu Kerajaan Terengganu memberi tajaan berjumlah RM1 juta bagi kejohanan tersebut.

“Penajaan ini adalah bagi pemegang jersi Kuning perlumbaan bagi edisi ke-18 LTdL 2013,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan penajaan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Le Tour de Langkawi di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerus Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Turut serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL 2013 merangkap Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab Jalil Abdullah; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Dato’ Abu Samah Abdul Wahab dan Yang Dipertua Persatuan Berbasikal Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail.

Katanya, jersi Kuning kali ini akan memaparkan tema TMT 2013 dengan jelas di mana ia memberi penjenamaan meluas untuk negeri ini dan dapat ditonton dengan jelas ketika perlumbaan di mana pendahulu perlumbaan lazimnya mendapat liputan meluas pihak media.

 “Pihak penganjur juga memberikan tiga peringkat perlumbaan diadakan di negeri ini serta ruang promosi selama tiga jam untuk siaran televisyen domestik dan antarabangsa dan yakin semua rakyat di negeri ini berpeluang menikmati aksi perlumbaan kedua terbesar di Asia ini,” katanya.

Katanya, LTdL juga telah menandatangani perjanjian dengan Eurosports serta tawaran terbaru kepada lebih 600 juta penonton seluruh dunia yang jelas memberi impak besar kepada pelancongan Terengganu.

Menurutnya, semasa LTdL 2012 telah berjaya menarik lebih sejuta penonton televisyen berbanding 800,000 pada 2011 dan ini membuktikan LTdL semakin diminati rakyat di negara ini.