Halaman

31 January 2013

Rumah Warisan mampu tarik minat pelancong

Oleh: Suriati Ali

Rumah Warisan di Kampung Cina, Kuala Terengganu yang menempatkan puluhan khazanah dan produk tradisional, antara usaha pihak berkaitan bagi menambah produk pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata kemudahan yang diwujudkan menerusi sumbangan kerajaan negeri dan MCA Kebangsaan dengan peruntukan RM500, 000 itu dijangka mampu menarik lebih ramai minat pelancong.

 “Kewujudan rumah warisan mampu merealisasikan hasrat masyarakat Kampung Cina untuk mengabadikan sejarah dan warisan nenek moyang mereka di satu pusat khas untuk tatapan orang ramai.

“Hasil sokongan padu semua pihak, MCA Kebangsaan serta Kerajaan Terengganu yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membolehkan Koperasi Kampung Cina diwujudkan dan pelbagai aktiviti dilaksanakan menerusi dana dan bantuan yang diberikan pihak yang prihatin kepada koperasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persembahan Amal dan Jamuan Makan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Rendah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu, turut dihadiri Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh dan lebih 500 masyarakat Tionghua.

 Beliau berkata, usaha koperasi untuk mewujudkan Rumah Warisan Kampung Cina juga tercapai dengan peruntukan RM500,000 sumbangan MCA Kebangsaan .

“Sokongan kerajaan negeri juga membolehkan pihaknya menganjurkan pelbagai acara sampingan yang menarik penyertaan ramai generasi muda di Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Bandar khasnya,” katanya.