Halaman

27 January 2013

RM100 akses kepada pendidikan kualiti

Oleh: Mastura Jamaluddin

Keluarga dan pelajar yang menerima bantuan pendidikan RM100 amat bersyukur kerana ia membantu meringankan tanggungan keluarga, terutamanya di kalangan penduduk luar bandar yang sebahagian besarnya berpendapatn rendah.

“Sekarang saya tidak perlu risau mencari duit untuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah untuk anak-anak saya. Wang itu sungguh bermakna untuk saya. Ia memang meringankan kos bebanan saya walaupun ia tidak mencukupi untuk meliputi semua perbelanjaan walaupun sesi persekolahan telah pun berjalan. Terima Kasih Perdana Menteri kerana prihatin kepada rakyat” kata Encik Wan Nazeli Azhar, bapa kepada empat orang anak ketika ditemui oleh Teganu kita, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail.

Dalam ucapannya YB Haji Mohd Zawawi berkata, bantuan RM100 itu bukanlah satu-satunya bantuan wang yang kerajaan telah sediakan dalam usahanya untuk meringankan bebanan kewangan untuk rakyat Malaysia sebagai akses kepada pendidikan berkualiti.

“Pihak Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai bantuan bagi kecemerlangan pendidikan dalam negeri Terengganu bagi melahirkan insan yang berwibawa.

“Dengan bantuan wang yang disediakan kerajaan yang bermurah hati terhadap pendidikan, rakyat Malaysia boleh menikmati akses yang lebih mudah kepada pendidikan berkualiti. Inisiatif-inisiatif ini bukan hanya untuk meringankan kos bebanan kewangan untuk para keluarga tetapi juga menolong untuk membangunkan asas pendidikan ke arah sebuah negara yang maju.” kata YB Mohd Zawawi.