Halaman

16 January 2013

Pinjaman perumahan RM50,000 untuk rakyat Terengganu

Menteri Besar ketika menjawab pertanyaan wartawan.
Oleh: Aida Abd Rahman

Rakyat Terengganu yang kurang berkemampuan dan berpendapatan RM3,000 ke bawah kini boleh memohon dana pinjaman perumahan sehingga maksimum RM50,000 seorang bagi membina rumah masing-masing.

Pada peringkat permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta yang dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 pemohon di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan bersedia menimbang untuk menambah dana RM50 juta itu selepas ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Terengganu yang kurang berkemampuan  mendapat kemudahan dan manfaat itu pada masa depan.

 “Pemohon boleh mendapatkan borang-borang permohonan dari Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mendapatkan pinjaman sehingga maksimum RM50,000 bagi setiap unit rumah menerusi dana RM50 juta itu.


 “Insya-Allah, selepas ini kita akan pertimbangkan semula untuk menambah dana berkenaan untuk masa depan,” katanya di sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pemohon boleh mendapatkan borang permohonan pelan setara melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan kadar caj untuk setiap kelulusan pelan berharga RM50 bagi kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan RM100 bagi Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri menetapkan pemohon boleh membina rumah yang bernilai maksimum RM80,000 seunit, bagaimanapun lebihan RM30,000 selepas ditolak jumlah maksimum pinjaman RM50,000 berkenaan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemohon.

“Kita hanya memberi pinjaman (maksimum) RM50,000 dengan tempoh bayaran balik 30 tahun, selain dikenakan caj perkhidmatan tiga peratus berdasarkan baki pinjaman, sebagaimana pinjaman kerajaan yang lain,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja dana pinjaman perumahan, kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan perumahan yang lain bagi membantu rakyat negeri ini termasuk skim rumah kos rendah, rumah mampu bilik, bantuan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin dan peruntukan RM1 juta di setiap Dun bagi membaiki rumah dan menggantikan atap yang baru.