Halaman

09 January 2013

Perpustakaan digital mudahkan pelajar UMT

Oleh: Noraini Jusoh

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menikmati kemudahan perpustakaan digital yang mungkin boleh digunakan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata transformasi yang dibuat itu adalah untuk mewujudkan sistem ‘e-learning’ dengan lebih berkesan sekaligus memudahkan pelajar untuk membuat rujukan dan menyiapkan tugasan.

"Sekarang pelajar perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku tetapi apabila siap kelak, mereka boleh gunakan kecanggihan teknologi dengan membuat urusan pinjaman buku secara dalam talian sahaja.

"Kerja-kerja pemindahan data manual kepada sistem digital sudah bermula dan semua pensyarah juga sedang menyiapkan modul pembelajaran untuk tujuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis penyampaian sumbangan wang zakat Bank Rakyat kepada anak-anak yatim sekitar UMT, di Masjid Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bagi melancarkan operasi pelaksanaannya, kemungkinan UMT akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang berminat untuk merealisasikan penubuhan perpustakaan digital tersebut.