Halaman

13 January 2013

Penduduk perlu rebut peluang, jika mahu tambah pendapatan keluarga

Oleh: Suriati Ali

 Penduduk setempat terutama suri rumah diminta lebih proaktif dan bijak merebut peluang yang ditawarkan kerajaan dengan mengikuti kursus tertentu supaya dapat menambah sumber pendapatan ketua keluarga.

 Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafie, berkata kerajaan menawarkan pelbagai pilihan, termasuk menawarkan kursus jahitan, masakan dan perniagaan di serata kawasan semata-mata mahu melihat rakyat menempuh kehidupan lebih selesa.

“Kita sewajarnya merebut peluang itu kerana jelas dapat menambah sumber pendapatan suami, selain mampu menjadi pendapatan utama bagi mereka bergelar ibu tunggal..

“Bagi mereka yang sudah mempunyai perniagaan kecil-kecilan pula, seperti menghasilkan karipap, pau atau pelbagai jenis kuih di rumah, kerajaan melalui jabatan tertentu ada menawarkan pinjaman untuk membesarkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kelas Bimbingan Agama, di Kampung Bukit Chempaka, Kuala Terengganu, kelmarin.

 Dato’ Haji Mohd Jidin turut mengingatkan penduduk kampung supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai isu yang dilontarkan pembangkang, termasuk berkaitan penggunaan kalimah Allah dan `Amanat Haji Hadi’ .

 Katanya, isu itu sangat sensitif, jangan mudah percaya dengan apa yang diperkatakan itu kerana percaya pemimpin pembangkang mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan parti.