Halaman

03 January 2013

Pemandu kereta sewa dapat pakaian seragam baru

Menteri Besar menyarung seragam
baru kepada pemandu teksi.
 Oleh: Suriati Ali 

 Pemberian pakaian seragam kepada 1,192 pemandu kereta sewa di Terengganu nyata mengembirakan dan mencetus semangat golongan itu untuk terus meningkatkan imej pengangkutan awam.

Mereka menganggap pengagihan itu mempamerkan sikap tidak jemu dan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu pengusaha teksi menambah pendapatan.

Pengerusi Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Encik Abu Bakar, 64, berkata jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa cakna terhadap kebajikan pemandu teksi.

 Katanya, dia bersama ahli lain akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik, di samping mengekalkan imej bersih dan sopan santun supaya pelancong luar tidak serik untuk datang ke Terengganu.

Pemandu teksi meletakkan pelekat promosi Tahun Melawat Terengganu 2013 pada kenderaannya.
Pengerusi Kereta Sewa Besut, Encik Mansor Mat Ali, 60 berkata apa yang diterima itu termasuk pemberian bantuan kewangan RM10,000 untuk meningkatkan imej kenderaan, baru-baru ini sangat dihargai.

“Saya berharap program seumpama ini diteruskan kerana untuk kami membelinya agak sukar kerana pendapatan harian yang diperoleh kurang memuaskan iaitu hanya RM30 saja sehari.

“Tindakan kerajaan negeri mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, nyata melegakan golongan pemandu teksi kerana sudah tentu jumlah pelancong ke Terengganu akan meningkat.

“Apabila ramai pelancong datang untuk ke mana-mana destinasi, termasuk pulau, sudah tentu pendapatan pelbagai pihak termasuk peniaga dan pengusaha teksi akan turut meningkat,” katanya. .