Halaman

01 January 2013

MB ucap Selamat Tahun Baru

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Terengganu walau di mana saja mereka berada.

Beliau berharap bagi penduduk yang ditimpa musibah kerana banjir yang melanda negeri ini, dapat bersabar menghadapi segala ujian daripada Allah s.w.t.

“Bagi pihak kerajaan negeri kita akan memberi layanan terbaik kepada semua mangsa banjir dan membantu menyediakan keperluan mereka di pusat-pusat pemindahan.

“Bancian juga sedang dijalankan oleh pihak berkenaan bagi membolehkan semua keluarga yang menjadi mangsa banjir diberi bantuan seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin),” katanya.

Menteri Besar berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Terengganu selaras dengan moto “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Beliau berharap penduduk negeri ini bersatu padu dan mengelakkan diri daripada melakukan sebarang kegiatan yang mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat.

“Kita mahu rakyat hidup aman dan bantu membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan fahaman politik bagi menjadikan negara kita makmur dan sejahtera,” katanya.