Halaman

06 January 2013

Mangsa banjir puji pemimpin Umno, BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Penduduk tempatan yang terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan selepas kampung halaman mereka ditenggelami banjir baru-baru ini memuji sikap keperihatinan dan cakna pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) ‘turun padang’ bagi membantu menyediakan pelbagai keperluan mereka.



Di sesetengah kawasan, pemimpin Umno dan BN bukan saja menghulurkan bantuan, tetapi turut membantu mangsa banjir mengadakan gotong royong membersih kawasan rumah yang ditenggelami air banjir.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, melawat dari satu kawasan ke kawasan bagi membantu mangsa banjir.

Bantuan untuk mangsa banjir mencurah-curah dan melebihi keperluan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan. Tidak cukup dengan itu, pemimpin Umno dari luar Terengganu turut datang ke negeri ini bagi menghulur bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negeri bagi meringankan beban mereka.

Wakil-wakil rakyat di seluruh negeri juga bertungkus-lumus melawat kawasan masing-masing dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat dengan banjir.

 di Terengganu pada tahun ini juga mendapat perhatian pemimpin Pusat apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, turut melawat kawasan yang dilanda banjir dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Pada masa yang sama, penduduk tempatan kesal kerana ramai pemimpin pembangkang yang ada di Terengganu, tidak banyak membantu mereka yang dilanda kesusahan sewaktu musim banjir.

Beberapa penduduk di kawasan Langkap, Setiu, amat kesal kerana pemimpin Pas tidak memberi bantuan sedangkan mereka merupakan penyokong parti tersebut.



“Tidak ada bantuan langsung dari pemimpin Pas selama kami berada di pusat pemindahan. Kami hanya terima bantuan makanan daripada orang Umno,” kata seorang penyokong parti itu yang tidak mahu disebut namanya kepada Teganukita, ketika ditemui semalam.



Beliau begitu kesal kerana pemimpin Pas hanya mahukan undi mereka, tetapi pada masa yang sama gagal menyerlahkan kewibawaan sebagai pemimpin.

Teganukita difahamkan bebrapa pemimpin Umno sanggup bergadai nyawa mengharungi air banjir bagi menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk yang enggan berpindah dari rumah mereka walaupun kawasan sekitarnya telah ditenggelami banjir.

Begitulah murninya perjuangan pemimpin Umno dan BN dalam membantu rakyat, tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup bergadai nyawa demi rakyat.