Halaman

23 January 2013

Kestabilan politik jamin kesejahteraan rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Sejak negara mencapai kemerdekaan pelbagai nikmat yang diperoleh rakyat dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh berkata, rakyat perlu bersyukur kerana keadaan politik yang stabil di negara kita telah menjamin kesejahteraan hidup rakyatnya.

"Jika dibandingkan dengan negara lain, keadaan politik negara kita masih berada dalam keadaan baik dan dibawah pemerintahan kerajaan sedia ada juga, pelbagai keistimewaan diperolehi rakyat.

"Kerajan pada hari ini masih mampu menghulurkan pelbagai bantuan untuk membantu meringankan beban rakyat tetapi jika dibandingkan dengan negara bergolak yang lain, mustahil mereka dapat menikmati keistimewaan seperti rakyat Malaysia,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Awal Khas Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Budiman, hari ini.

Seramai 1156 murid sekolah itu menerima wang tunai RM100 dalam majlis penyerahan bantuan tersebut.

Menurut beliau, pemberian wang tunai tersebut merupakan salah satu bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan bagi menampung kos perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, orang Melayu khususnya perlu bersatu dan menyokong penuh kerajaan BN dan Umno agar terus menikmati kesejahteraan hidup seperti sekarang.