Halaman

30 January 2013

Kerajaan rugi besar akibat fitnah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi menganjurkan majlis-majlis penerangan di seluruh negara bagi menjelaskan pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan dan pemimpin.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong (gambar), berkata bukan itu saja banyak masa dan tenaga juga dibazirkan kerana masalah sama yang dilakukan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kebelakangan ini banyak fitnah dan fakta tidak betul sengaja disebarkan pihak berkenaan melalui media baru dan pelbagai medium yang ada bagi menjatuhkan pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Banyak negara menjadi kacau bilau apabila banyak maklumat yang tidak tepat mengenai kerajaan negara berkenaan disebarkan secara meluas.

“Bila huru hara dan kekacauan berlaku, keadaan politik tidak stabil dan rakyat negara berkenaan yang akan menanggung kerugian,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Program Komunikasi Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan & Pelancaran Program Bahasa Radio Malaysia Terengganu fm di TfM, petang semalam



Program anjuran Unit Komunikasi Negeri dengan kerjasama TfM itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak, khususnya pembangkang supaya menghentikan kegiatan tidak sihat itu bagi menjimatkan wang kerajaan, masa dan tenaga pemimpin kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu mengadakan majlis penerangan bagi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat berhubung sesuatu isu yang dilemparkan kepada kerajaan.

Menurutnya, jika tiada fitnah dan tuduhan buruk ke atas kerajaan dan pemimpin peruntukan bagi majlis berkenaan boleh diagihkan kepada tujuan lain seperti program kesejahteraan rakyat.