Halaman

23 January 2013

Kementerian Pertanian memilih Daerah Besut untuk program My Village My Future



Oleh: Mohammad Ishak 

Daerah Besut dipilih Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk perluasan Progrm My Kampung My Future (MKMF) sebagai usaha menghidupkan ekonomi penduduk kampung melalui aktiviti pertanian. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, makluman untuk permulaan program berkenaan telah dibuat Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohamad Hashim Abdullah ketika mewakili Datuk Seri Noh Omar di majlis penyampaian wang ehsan kepada petani di Jertih kelmarin..

Katanya, untuk itu Pejabat Daerah Besut telah mengenalpasti beberapa buah kampung untuk di majukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memulakan program tersebut secepat mungkin.

Setakat ini kementerian berkenaan telah pun memulakan program MKMF di tiga buah negeri iaitu di Kampung Gedong Sarawak, Kampung Marutai Sabah dan Batu Gajah Perak , kata Idris kepada media selepas merasmikan Proram Kenduri Warga Pendidikan Besut di Sekolah Pusat Jerteh disini hari ini. 

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah mengenalpasti untuk memperkenalkan projek ternakan ayam dan itik organik, sayur-sayuran organik , ternakan air organik termasuk pelancongan di kampung yang bakal dipilih untuk Program MKMF di Besut itu.

Katanya, mana-mana kampung yang dipilih untuk program itu akan melibatkan penduduk sepenuhnya termasuk kalangan belia dan remaja bagi menjayakan MKMF nanti.

Sementara itu ketika berucap merasmikan Program Kenduri Warga pendidikan Besut itu, Idris mengingatkan para pendidik supaya tidak mengukur kejayaan pendidikan melalui penilaian kepada prestasi akademik semata-mata dengan meninggalkan perkara-perkara lain seperti kecemerlangan bakat pelajar dalam pelbagai bidang lain.

Katanya, kejayaan dalam pendidikan itu sepatutnya dinilai dalam semua bidang terutamanya bakat kerana melalui bakat juga seseorang boleh berjaya di masa depannya.

 “ Telah terbukti terdapat ramai mereka yang berjaya dalam hidup melalui bakat mereka walaupun pada peringkat awalnya mereka lemah dalam akademik”, katanya .

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan hal Ehwal pengguna, Dr A Rahman Mokhtar, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong.