Halaman

19 January 2013

EPIC Properties dan TM jalin kerjasama

Oleh: Noraini Jusoh

Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPIC Properties) akan menjalin kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menjayakan projek Penyediaan Perkhidmatan Infrastruktur Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (UniFi).

Pengurus Divisyen, Perhubungan Awam Korporat EPIC Properties, Adliza Abdullah berkata, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara EPIC Properties dan TM akan diadakan di Wisma Darul Iman, 23 Januari ini.

"Perjanjian yang akan dimenterai merupakan kerjasama julung kali antara kedua-dua pihak yang menawarkan perkhidmatan UniFi kepada penyewa yang berpangkalan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

"Sebanyak 250 syarikat yang telah beroperasi di KSB yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas,” ujarnya.

Katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka hadir menyaksikan MoA antara Pengerusi EPIC, Dato' Haji Mazlan Ngah dan Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail.