Halaman

09 January 2013

DPPCT sertai kempen TMT

Oleh; Esah Abdullah

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT) akan memperkenalkan tempat menarik, makanan tradisional dan budaya peranakan cina kepada pelancong bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013).

Pengerusi DPPCT, Dato’ Low Kian Chuan berkata, antara tempat yang akan ditonjolkan adalah kawasan Kampung Tiruk iaitu perkampungan yang didiami masyarakat cina sejak sekian lama dan Kampung Cina yang terletak dalam kawasan bandaraya Kuala Terengganu

Katanya, jika di bandingkan dengan negeri-negeri lain, Terengganu terlebih dahulu didatangi orang cina dan mempunyai pelbagai makanan yang istimewa tetapi kurang menonjol.

“Selain Kampung Cina, Kampung Tiruk turut didiami orang cina tetapi mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu sehingga ada kalangan mereka yang boleh membaca dan menulis dalam tulisan jawi.

“Pelbagai makanan tradisional dan berbudaya peranakan cina seperti keropok ikan parang, roti paung dan pulut lepa juga perlu diperkenalkan kepada pelancong tempatan dan luar negara bersempena dengan TMT2013,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Majlis Makan Malam DPPCT ‘Tourism Resource Development Fund’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat DPPCT, Kuala terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, DPPCT merancang mengadakan majlis makan malam di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 2 Februari ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Beliau juga menyarankan agar kerajaan negeri dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Terengganu bagi menggalakkan pelancong datang ke sini.

Katanya,sekarang pelancong dari negara tersebut perlu mendarat di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum datang ke Terengganu.