Halaman

04 January 2013

Buang sikap buruk, elak tanggapan negatif pelancong

Oleh: Suriati Ali

 Pemandu teksi, pengusaha restoran dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung dengan pelancong perlu menghentikan tabiat gemar mengenakan bayaran melampau kepada golongan itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tabiat buruk ini bukan hanya boleh merugikan dan mencemar pemilik teksi atau pengusaha makanan itu sendiri malah membawa kerugikan besar terhadap industri pelancongan Terengganu.

“Selain itu, ia akan membawa tanggapan negatif dan persepsi buruk pelawat kepada negeri, akhirnya pelawat tidak lagi suka berkunjung ke Terengganu walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri.

 “Maka, timbullan sikap salah menyalah dan tuding menuding yang akhirnya pihak kerajaan juga akan dipersalahkan, kononnya tidak menjalankan usaha untuk menarik pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.

 Beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Uniform dan `Kit’ Kepada Pengusaha Kereta Sewa, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

 Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.