Halaman

27 January 2013

BN & UMNO Terengganu tunggu keputusan SPRM

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu masih menunggu keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih menyaring senarai nama calon-calon dari negeri ini yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13).

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sehingga kini pihaknya masih lagi belum menerima laporan sama ada terdapat antara nama yang dikemukakan tidak melepasi tapisan.

Katanya, Terengganu telah menyerahkan nama semua calon yang akan bertanding kepada SPRM dan menjadi negeri terawal menyerahkan senarai nama calon untuk disaring.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih belum menerima laporan lengkap daripada SPRM dan kita masih menunggu,” katanya.

Beliau berkata semikian kepada pemberita selepas melancarkan Festival Permainan Tradisional Terengganu 2013 sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT 13) yang berlangsung di Padang Astaka, Taman Bandar Chukai semalam.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, beliau pada masa sama bersedia untuk menerima apa juga keputusan SPRM serta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinanan.

Menurutnya, BN dan UMNO Terengganu mempunyai senarai nama calon yang ramai sekiranya ada dalam kalangan nama yang dikemukakan tidak melepasi saringan.