Halaman

14 January 2013

Bantuan RM500 kepada mangsa banjir di Kuala Terengganu selesai diagihkan

Oleh: Noraini Jusoh

Bantuan RM500 kepada mangsa banjir di Kuala Terengganu telah selesai diagihkan kepada 1235 mangsa daripada 276 keluarga melalui Tabung Bantuan Bencana Negara yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara, minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, kesemua mangsa yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh telah menerima bantuan wang tunai bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Semua mangsa banjir telah mendapat bantuan yang disalurkan kerajaan pusat, sekarang kita menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat penilaian terhadap kerosakan rumah serta kerugian yang ditanggung mereka.

"Mungkin penilaian yang dibuat JKM akan mengambil masa yang agak lama, justeru diharap mangsa yang terlibat dengan bencana banjir kali ini dapat bersabar menunggu bantuan yang akan disalurkan selepas penilaian tersebut selesai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis perasmian penutup minggu suaikenal pelatih baru Institut latihan Perindustrian (ILP) sesi Januari 2013 di Dewan Kuliah Utama, ILP Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, banyak faktor yang akan dinilai JKM, antaranya jenis kemusnahan, tahap kerosakan peralatan di rumah serta jumlah isi rumah yang terbabit dengan banjir.

Katanya, beliau juga berharap gelombang ketiga tidak akan melanda negeri ini supaya mangsa banjir dapat menjalani kehidupan seharian dengan lancar selepas dilanda bencana alam yang banyak memusnahkan harta benda mereka.

Katanya, dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno juga, rakyat Terengganu sangat bertuah kerana pelbagai bantuan diberikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri kepada mereka yang memerlukan.

"Bermula 15 Januari, bantuan persekolahan dari kerajaan pusat sebanyak RM100 kepada setiap pelajar akan mula diagihkan dan diikuti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang memperuntukkan RM500 kepada ketua keluarga dan RM250 kepada individu bujang,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga telah mengagihkan bantuan persekolahan kepada 2807 pelajar daripada 1856 keluarga miskin di DUN Tepoh yang melibatkan peruntukan bernilai RM300,000.

Justeru, beliau mengharapkan rakyat negeri ini bersyukur dengan nikmat yang diperolehi dan sentiasa memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN dan Umno.