Halaman

17 January 2013

Bantuan `one-off' RM500 untuk mangsa banjir agih bulan depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kedukaan kira-kira 9,000 keluarga di Terengganu yang terlibat dengan banjir baru-baru ini sedikit terubat apabila kerajaan negeri bersetuju mengagihkan bantuan sebanyak RM500 kepada semua mangsa bencana alam itu mulai pertengahan Februari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata bantuan `one-off’ kepada setiap keluarga yang terlibat itu dianggarkan mencecah sehingga RM4.5 juta akan diberikan kepada mangsa yang mendaftar dengan pusat pemindahan banjir yang diiktiraf.

"Peruntukan itu adalah tambahan daripada bantuan kepada mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Pusat, kerana kerajaan negeri juga prihatin dengan nasib malang yang menimpa mereka.

“Hasil kunjungan ke kawasan terlibat kita lihat banyak taman perumahan yang terbabit dan dengan bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban mereka,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, bantuan yang pertama kali dilaksanakan kerajaan negeri itu akan diagihkan di setiap daerah dengan peruntukan keseluruhan antara RM4 juta hingga RM4.5 juta.

 Menurutnya, Kemaman merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu apabila merekodkan kira-kira 3,000 mangsa.