Halaman

01 January 2013

31 buah sekolah terpaksa tangguh hari pertama sesi persekolahan

Oleh; Esah Abdullah

Sejumlah 31 buah sekolah dengan melibatkan seramai 12, 000 pelajar terpaksa menangguhkan sesi baru persekolahan yang bermula hari ini bila banjir gelombang kedua kembali melanda Terengganu sejak kelmarin,

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, antara faktor sekolah yang terlibat ditutup adalah disebabkan dinaiki air, menjadi pusat pemindahan sementara serta masih ada sebahagian yang dijadikan pusat pemindahan dalam proses pembersihan.

Katanya, daerah Hulu Terengganu mendahului senarai sekolah terbanyak yang ditutup iaitu sejumlah 13 buah, diikuti Besut 12, manakala masing-masing tiga buah di Setiu dan Kemaman.

 “Berdasarkan jumlah keseluruhan 31 buah sekolah yang terpaksa ditangguhkan itu menyaksikan 23 buah adalah sekolah rendah dan lapan buah lagi merupakan sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar baru di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Seberang Takir hari ini.

Menurutnya, kesemua sekolah yang dinaiki air melibatkan daerah Hulu Terengganu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang.

 “Di daerah Besut pula, SK Keruak, SK Tok Raja, SK Bukit Jeruk, SK Kg Nangka, SK Alor Keladi, SK Tok Dor dan SK Pasir Akar.

 “Manakala, sekolah yang masih menjadi pusat pemindahan sementara adalah SK Bukit Payong dan SK Tenang di Besut, sementara di Setiu adalah SK Anak Ikan,” katanya.

Sekolah yang ditutup akibat terputus hubungan pula adalah SK Kuar, SK Tersat, SK Matang, SK Tengkawang, SK Bukit Taduk, SMK Matang, SMK Jenerih dan SMK Menerong, di mana kesemuanya adalah di daerah Hulu Terengganu, di Setiu pula adalah SK Tak Ba dan SK Sungai Las, di Besut, SMK Bukit Payong dan SMK Putera dan dua buah sekolah di Kemaman, SMK Padang Kubu dan SK RKT Seberang Tayor.

 Sebuah lagi sekolah di Kemaman iaitu SMK Bukit Mentok ditutup adalah disebabkan proses pembersihan yang belum selesai selepas ia dijadikan pusat pemindahan ekoran banjir yang disifatkan terburuk di daerah berkenaan dengan jumlah mangsa seramai 9, 000 orang.

 “Buat masa sekarang, kita belum dapat tentukan bila sekolah yang berkenaan akan dibuka kembali kerana ia bergantung pada situasi banjir, tetapi kita berharap agar banjir gelombang kedua yang sedang melanda ini akan cepat surut,” katanya

Sehubungan itu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan memaklumkan perkembangan dari masa ke semasa kepada semua ibu bapa dan mana-mana sekolah yang terlibat dengan penutupan ini akan menggantikan sesi persekolahan pada hari Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNT, Haji Hashim Mohd Zin yang turut serta dalam lawatan ke SK Tok Jembal yang turut dijadikan pusat pemindahan banjir sebelum ini, memaklumkan jumlah keseluruhan pelajar Tahun Satu yang memulakan sesi persekolah tahun ini adalah seramai 19, 878 dengan melibatkan 350 buah sekolah di seluruh negeri.