Halaman

16 December 2012

Wanita UMNO Besut berjaya kutip RM2,000 tabung Gaza


 YB Datuk Seri Dr Abdullah melancarkan kutipan derma Gaza

Oleh: Mohammad Ishak 

Sikap prihatin dan semangat ingin membantu rakan seagama mendorong Wanita UMNO Besut melancarkan kutipan derma untuk Tabung Gaza bagi membantu penderitaan rakyat yang dihimpit peperangan itu.

Majlis pelancaran kutipan yang dilakukan Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) sempena program penerangan isu semasa kepada petugas Jalinan Rakyat (JR) semalam.

Ketua Wanita UMNO Besut, Engku Naimah Engku Taib berkata, ketika kutipan kilat dilakukan oleh pergerakan itu pihaknya berjaya mengutip RM2,000 hasil sumbangan peserta majlis berkenaan yang dihadiri kira-kira 800 peserta.

Katanya, kutipan itu tidak berakhir semalam sebaliknya ia akan diteruskan dalam dua minggu yang dijangka berakhir pada Disember ini.

Menurutnya, pihaknya menjangka hasil kutipan akan bertambah apabila gerakan mengutip dilakukan dalam tempoh berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak terbabit.

Engku Naimah berkata, satu majlis penyerahan hasil kutipan berkenaan akan diadakan pada 12 Januari tahun depan sempena Program Amanat Presiden anjuran UMNO Bahagian Besut yang akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih.

Sementara itu, Dr Abdullah memuji usaha yang dilakukan oleh Wanita bahagian itu kerana tanpil mengadakan kutipan derma untuk membantu rakyat Palestin yang hidup dalam kesusahan akibat perang.

Katanya, orang ramai juga diminta menyokog usaha yang dilakukan oleh wanita Umno yang akan turun padang untuk mengutip derma bagi tabung berklenaan.