Halaman

08 December 2012

Umno Terengganu sedia hadapi PRU13

Oleh: Noraini Jusoh

Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa sahaja walaupun jika diadakan dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada Umno dan BN tidak kira bila PRU13 akan diadakan.

"Melihat situasi semasa Perhimpunan Agung Umno kali ke 66 yang baru berakhir beberapa hari yang lalu saya yakin Umno dan BN pasti memenangi PRU13 dengan kerusi dua pertiga melalui sokongan padu dan semangat yang kuat yang telah ditunjukkan oleh setiap ahli.

"Di Terengganu sendiri, semua jentera Umno telah bersiap siaga untuk menghadapi PRU13 dengan melakukan persediaan awal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di majlis makan malam sempena meraikan pasukan yang menyertai Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun “Champion Of Champions” 2012 bertempat di Kompleks Sukan Negeri, baru-baru ini.

Katanya, buat masa sekarang tidak ada masalah untuk Umno dan BN memenangi PRU13 di Terengganu khususnya kerana telah terbukti kerajaan negeri yang memerintah sekarang mengotakan janji dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan di negeri ini.

"Di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, rakyat Terengganu telah menikmati pelbagai keistimewaan.

"Saya percaya dan yakin dengan segala yang diberikan kerajaan negeri kepada rakyat pada hari ini, Umno dan BN akan kekal memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti,” ujarnya.

Menurut Dato’ Rosol beliau meramalkan PRU13 akan diadakan awal tahun hadapan dan mengharapkan rakyat di negeri ini dapat membuat pilihan yang tepat supaya nasib rakyat di negeri ini terus terbela di bawah pimpinan Umno dan BN.