Halaman

02 December 2012

Umno Terengganu kukuh

Pemimpin Umno Terengganu yakin kekuatan parti itu di negeri ini kembali pulih dan mereka kini bersedia untuk menggempur serta mempertahankan Terengganu daripada dikuasai pembangkang selaras dengan hasrat Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak agar semua ahli parti bersatu padu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, segala masalah dalaman yang dialami sebelum ini berjaya diatasi dan kesemua ahli serta pucuk pimpinan parti kini menumpukan usaha untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-13.

"Dengan adanya perpaduan di kalangan ahli parti, saya pasti tidak ada masalah untuk mengekalkan kemenangan di Terengganu. "Malah saya menjangkakan kita akan berjaya merampas kembali beberapa kerusi daripada tangan pembangkang," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lapan kerusi DUN yang kini dikuasai Pas ialah Batu Buruk, Ladang dan Wakaf Mempelam (ketiga-tiganya di dalam Parlimen Kuala Terengganu), Bukit Tunggal (Parlimen Kuala Nerus), Sura (Dungun), Rhu Rendang serta Bukit Payung (Marang) dan Manir (Hulu Terengganu).

Kerusi Parlimen yang dimenangi Pas pula ialah Marang yang diwakili Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada pilihan raya kecil pada 2009.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Umno Terengganu kini memasuki 'gear lima' yang bersedia untuk memecut sebaik sahaja semboyan PRU dibunyikan.

"Jentera parti di pelbagai peringkat telah bersedia...masalah yang berlaku sebelum ini bukan lagi isu kerana kita telah tanganinya dengan baik," katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu Rozi Mamat berkata, perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan Umno dan dalam situasi politik pada masa kini, perpaduan di kalangan semua anggota Umno termasuk Umno Terengganu merupakan faktor yang amat penting seperti ditekankan oleh presiden parti.

"Banyak perubahan berbanding dahulu, kini semua pucuk pimpinan Umno Terengganu telah bersatu dan sedia untuk bertempur untuk hadapi PRU nanti," katanya.

Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Dr Rosli Mat Hassan pula berkata, semua kepentingan individu dan kumpulan telah ditolak ke tepi kerana matlamat Umno kini meraih seberapa banyak sokongan pengundi melalui 342 Peti Daerah Mengundi di seluruh negeri itu.

"Jentera kita akan terus setia berkhidmat sehingga ke peringkat akar umbi tanpa mengira jua jawatan yang dipegang dalam Umno negeri untuk membawa kembali kekuatan yang kita ada sebelum ini," katanya.