Halaman

14 December 2012

Umno perhebat media baru

Peranan pasukan media baharu yang diwujudkan di negeri ini sejak dua tahun lalu akan digerakkan secara lebih agresif sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Langkah itu akan diperhebatkan mulai sekarang dengan disertai para blogger dan pengguna Facebook bagi menangkis segala bentuk tohmahan serta fitnah pembangkang dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bagi tujuan itu pelbagai usaha sedang giat dilakukan bagi mengumpul lebih ramai para blogger dan pengguna Facebook dalam mendepani serangan pembangkang.

Beliau memberitahu, buat masa ini, kesemua mereka yang menganggotai pasukan media baharu itu ditempatkan di setiap bahagian UMNO di negeri ini dengan sebahagiannya adalah para blogger pengguna Facebook muda.

“Sebenarnya Terengganu sudah pun ada pasukan media baharu ini di bawah penerangan UMNO dan Barisan Nasional negeri sejak dua tahun lalu.

“Tapi dimulakan sekarang secara lebih agresif yang akan mengumpulkan blogger dan pengguna Facebook di setiap bahagian dan mereka akan bergerak sepenuh masa bagi mendapatkan segala input untuk menghadapi segala isu dicetuskan pembangkang,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif turut memberi jaminan memastikan pasukan media baharu itu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan memfokuskan kepada para pengundi muda supaya mereka memperoleh maklumat tepat mengenai pelbagai isu.

“Mereka ini (pengundi muda) perlu diberi penjelasan tentang segala pembohongan pembangkang termasuklah hasrat menawan Putrajaya,” tambahnya.