Halaman

07 December 2012

Umat Islam dilarang ikut fahaman individu tertentu

 Oleh: Suriati Ali

 Umat Islam di negara ini digesa mereformasikan kehidupan seharian mereka berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar dan bukannya bergantung kepada fahaman individu tertentu.

 Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Malaysia, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya, berkata golongan liberal kurang memahami sensitiviti masyarakat beragama Islam.

 “Kebebasan tanpa batasan yang diperjuangkan mereka bukan saja menimbulkan pelbagai kesan yang boleh menjejaskan fitrah kejadian manusia malah boleh memusnahkan ajran fundamental setiap agama.

“Perjuangan mereka hanya tertumpu kepada aspek material dan mengenepikan perkara berkiatan kerohanian,” katanya ketika membentangkan isu `Serangan Akidah Di Zaman Globalisasi kepada peserta Seminar Maal Hijrah di Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

 Katanya sedangkan manusia dicipta dalam bentuk tubuh badan dan jiwa atau roh, kehidupan manusia tidak akan mencapai kebahagiaan hakiki jika salah satu daripada aspek ini diabaikan

“Hasil perjuangan liberal, maka wujud golongan bertuhankan hawa nafsu tanpa batasan yang dikenali sebagai masyarakat `hedonistic’ yang tiada haluan dan pendoman hidup.

 “Apabila perkara itu wujud, tidak hairanlah akan timbul budaya songsang dan menjijikkan seperti lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT),” katanya.