Halaman

15 December 2012

Tolak AES dianggap tidak bertamadun

Oleh: Suriati Ali

Mereka yang menentang pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini disifatkan sebagai golongan tidak bertamadun, tiada etika dan disiplin.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad yang menyelar golongan itu berkata, ini kerana pemasangan AES penting demi keselamatan para pengguna jalan raya.

 "Orang yang menentang AES adalah orang yang tidak beretika, tiada disiplin, tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab," katanya ketika menjawab soalanMuhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada sidang Dewan Undangan Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin
.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut berhasrat melaksanakan sistem AES di beberapa lokasi di sekitar negeri ini demi kepentingan pengguna jalan raya.

 Menurutnya yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, pihaknya akan mengenal pasti lokasi-lokasi tertentu yang sesuai untuk dipasang peralatan itu.

 "Sebenarnya usaha itu bukan bertujuan menghukum para pengguna jalan raya tetapi bagi membantu dan menyelamatkan mereka," ujarnya.

Dato' Yahya berkata, pemasangan AES perlu dilaksanakan memandangkan sebanyak 450,000 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh negara pada tahun lalu.

 Menurutnya, bagi Terengganu pula, sebanyak 9,498 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan 273 kematian dilaporkan berlaku dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

 Beliau menjelaskan, kemalangan itu antara lain berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya termasuk memandu laju dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas.