Halaman

03 December 2012

TISB anjur seminar bagi juru audit dalaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB), sebuah syarikat pelaburan milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, menganjurkan seminar “Internal Audit Colloquium 2012” dengan tema “Why and How Auditors Must Change” pada 28 November 2012 di Bangunan TISB, KawasanPerindustrianChendering, Kuala Terengganu.



Seminar berkenaan dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada Jururaudit Dalaman merangkumi syarikat di bawah kumpulan TISB dan pelbagai agensi Kerajaan Negeri Terengganu.

Seminar ini merupakan yang pertama dianjurkan oleh Jabatan Audit Dalaman Kumpulan TISB dengan objektif utama untuk meningkatkan peranan Juruaudit Dalaman seiring dengan perubahan semasa dalam melaksanakan perkhidmatan pengauditan dan perundingan secara profesional dan berkualiti.

Selain itu, seminar ini juga merupakan platform untuk perkongsian idea dan maklumat bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara syarikat induk, anak-anak syarikat di bawah kumpulan dan juga jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

Seminar ini diadakan dalam bentuk kolokium dengan menampilkan panel yang berpengalaman, termasuk penceramah profesional, En.Steven Yee, Pengarah Urusan, Centegy Consulting Group dan Encik Abdul Majid Embong dari Jabatan Audit Negara, Cawangan Terengganu.

Seorang wakil dari Jabatan Audit Dalaman Kumpulan TISB iaitu Encik Mohamad Reeduan Mustapha turut memberi ceramah dan berdialog dengan peserta-peserta yang terlibat.

Ketua Jabatan Audit Dalaman Kumpulan TISB, Encik Ozarizan Mohd Nor yang dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Audit, Lembaga Pengarah TISB yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah telah mencadangkan agar seminar ini diadakan sebagai platform untuk peserta-peserta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik serta membincangkan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh mereka sebagai Juruaudit Dalaman.



Seminar ini juga telah mendapat sokongan penuh daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TISB sebagai salah satu usaha bagi mempertingkatkan tadbirurus syarikat melalui peranan Juruaudit Dalaman yang mempunyai integriti dan profesionalisma yang tinggi ke arah kemakmuran masa depan Terengganu.