Halaman

21 December 2012

TESDEC lahir usahawan penyelenggaraan automotif

Oleh :Amirullah Othman

Berbekalkan ilmu teori dan praktikal yang ditimba selama tiga tahun di Kolej TESDEC, dua pemuda lepasan program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance (DET(AMT)) kelolaan Kolej TESDEC menceburi bidang perniagaan penyelenggaraan automotif dengan membuka sebuah bengkel servis kenderaan di Binjai Rendah.

 “Kami mengikuti program DET(AMT) di Kolej TESDEC ketika ia mula-mula diperkenalkan pada bulan Julai 2009 dulu.

 Pada mulanya, kami agak ragu-ragu kerana DET(AMT) adalah program akademik, namun setelah beberapa semester kami mendapati aspek praktikalnya banyak membimbing kami dan memberi keyakinan kepada kami untuk menceburkan diri ke alam perniagaan,” kata Muhammad NurIzzudin Ramli di bengkel KMJ Auto Service yang dibukanya bersama-sama rakan sekursus, Wan Mohd Helmiezie Wan Hamid.

Setelah mengikuti pengajian selama tiga tahun di Kolej TESDEC, NurIzzudin dan Wan Helmiezie akhirnya dianugerahi diploma oleh Universiti Kuala Lumpur di majlis Konvokesyen di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya, pada bulan Oktober lalu.

 Ketika ditanya mengapa dia terdorong untuk membuka bengkel servis kereta, NurIzzudin memberitahu bidang servis kenderaan mempunyai peluang cerah untuk maju memandangkan bilangan kereta yang makin bertambah setiap hari dan tabiat pemilik kereta yang menyelenggara kereta mereka secara tetap bukannya menunggu kerosakan berlaku.

“Kebanyakan pemilik kenderaan masa kini kurang maklumat bahawa menyelenggara kenderaan memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi sejajar dengan perkembangan dunia automotif.

 “Kenderaan zaman kini mempunyai sistem elektronik yang canggih dan juga ciri-ciri keselesaan dan keselamatan yang tinggi.

 Oleh itu, kita tidak mampu menyelenggara sesebuah kenderaan jika sekadar dilatih sebagai mekanik biasa,” ujar NurIzzudin.

 “Lagipun, salah satu mata pelajaran yang diajar di bawah program DET(AMT) ini ialah keusahawanan. Jadi sedikit sebanyak ilmu yang diperoleh daripada mata pelajaran ini boleh digabung jalindengan kemahiran praktikal yang banyak memberi keyakinan kepada kami untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” celah Wan Helmiezie.

Kolej TESDEC memperkenalkan program DET(AMT) secara kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur di kampus Kolej di Kawasan Perindustrian Bukit Khor, Marang bermula sesi pengambilan Julai 2009.

Melalui kerjasama ini, Universiti Kuala Lumpur ‘memfrancaiskan ’program DET(AMT)-nya kepada Kolej TESDEC.

 Keseluruhan pengendalian program ini dikelolakan Kolej TESDEC sementara Universiti Kuala Lumpur menjalankan pemantauan berkala dari segi kualiti dan menganugerahi diploma kepada pelajar yang berjaya.

“Walaupun ini merupakan program pertama diperkenalkan oleh Kolej TESDEC secara kerjasama dengan sebuah universiti teknikal tempatan yang ternama, rekod menunjukkan kita berjaya melakukannya dengan cemerlang.

 “Program ini sudah memperoleh akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebelum pelajar sulungnya tamat pengajian.

 Di samping itu, 12 orang daripada 15 orang graduan sulungnya telah memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian dan dua orang yang lain diterima melanjutkan pengajian di peringkat ijazah oleh Universiti Kuala Lumpur”, kata Abdul Razak Bin Mohamed,

Pengurus Akademik dan Latihan Kolej TESDEC apabila ditanya lebih lanjut tentang program yang mendorong NurIzzudin dan Wan Helmiezie menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

 Pada masa ini, terdapat 108 orang pelajar yang sedang mengikuti program DET(AMT) di Kolej TESDEC. Seramai 20-25 orang lepasan SPM atau kelayakan kemahiran mendaftar masuk pada setiap pengambilan iaitu pada bulan Januari dan Julai setiap tahun.

Program ini bercirikan gabungan aspek teori dengan praktikal (hands-on) dalambidang penyelenggaraan automotif.

 Di samping mata pelajaran teknikal dalam bidang automotif, pelajar DET(AMT) juga mengambil matapelajaran bahasa-bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Perancis serta Keusahawanan.

Pelajar mengikuti kelas-kelas di bengkel dan bilik kuliah selama lima semester dan seterusnya menjalani latihan industry pada semester terakhir (keenam).