Halaman

13 December 2012

Terengganu tubuh sekretariat TMT2013



Kerajaan negeri menubuhkan sebuah Sekretariat Pelancongan bagi menerajui pelaksaaan aktiviti, galakan dan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata logo TMT 2013 akan dipaparkan pada setiap bahan promosi dan galakan pelancongan yang bakal diadakan di dalam dan luar negara.

“Terdapat sebanyak 34 program yang disusun sempena TMT 2013,” katanya ketika menjawab soalan Muhamad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.
Dato’ Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri mengadakan kerjasama yang erat dengan ejen pelancongan terutamanya Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bagi mengadakan bengkel dari semasa ke semasa.

Katanya, kerjasama itu antaranya bagi mengadakan aktiviti seperti Matta Travelfair di Kuala Lumpur, Travel Malaysia di Singapura, World Travel Mart di London dan ekspo di Hong Kong, negara Asean dan di Berlin, Jerman di samping Arab Travel Market di Dubai serta beberapa misi jualan ke Sydney, Melbourne, China dan negara jiran.

Kepada soalan tambahan YB Muhamad Ramli mengenai kurangnya promosi TMT 2013, Dato’ Abdul Rahin berkata keghairahan menyambut TMT 2013 bermula pada Januari lepas menerusi penganjuran pertandingan mencipta logo oleh kerajaan negeri.

“Tentang pembinaan pintu-pintu gerbang, kain rentang dan lain-lain yang kurang rancak, kita terpaksa akur kepada bajet yang akan dibentangkan hari ini. Kita telah meminta peruntukan yang secukupnya untuk persediaan fizikal TMT 2013,” katanya.

Mengenai tata susila dan adat berpakaian pelancong asing terutama dari Eropah yang datang ke negeri ini, beliau berkata ia tertakluk kepada undang-undang di bawah pihak berkuasa kerajaan tempatan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk), Dato’ Abdul Rahin berkata kerajaan Terengganu tidak pernah melarang penduduk Pulau Redang daripada memelihara binatang ternakan seperti lembu dan kambing di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, katanya jika tiada kawalan yang tertentu dan haiwan ternakan pula dibiarkan bebas, ia akan merosakkan pemandangan.

“Saya merasa dukacita apabila melihat lokasi pelancongan yang indah di pulau itu dicemari dengan najis kambing dan lembu. Ini kerana kita perlu satu pemandangan yang menyeronokkan apabila kita datang ke sesuatu tempat yang bertujuan untuk mengekalkan minat pelancong,” katanya.