Halaman

17 December 2012

Terengganu negeri terawal bina ICT kalangan pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu merupakan negeri terawal membina ICT di kalangan pelajar dan negeri terbanyak mempunyai e-book kalangan pelajar di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Terengganu muncul negeri pertama di negara ini yang melaksanakan kelas maya di sekolah rendah dan menengah.

 Katanya, apa yang dilaksanakan di negeri ini adalah selaras dengan gelombang pendidikan negara dalam pelan pembangunan 2013-2025.

 “Kehebatan ini sedang berlaku dalam projek Virtual Learning Environment (VLE) yang telah merancakkan lagi kelas maya serta penggunaan e-book di semua sekolah di seluruh negeri,” katanya.

Katanya, Fakulti Sains Universiti Pendidikan Sultan Idris yang diketuai oleh Prof Dr Chan Lee Hok bersama Intel Corporation dari Amerika telah membuat penyelidikan mengenai kegunaan e-book yang mampu melonjakkan pemahaman pelajar.

Menurutnya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Pelajaran turut membuat kajian mengenai penggunaan e-book di 260 buah sekolah daripada 349 buah sekolah seluruh negeri.

“Kita sekarang bergerak berasaskan kajian dan cadangan yang diberi oleh pihak-pihak yang membuat kajian mengenai kelas maya dan e-book serta sentiasa bersedia menerima pandangan-pandangan lain demi kebaikan pelajar,” katanya .

Tambahnya, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 terdapat tiga gelombang iaitu yang pertama, 20 murid setiap alat ICT internet dengan kadar kelajuan dua megabait, yang kedua, internet 24 jam satu perpustakaan 20 murid setiap alat peranti ICT dan ketiga 10 megabait satu komputer bimbit seorang murid menengah dan satu kemudahan sidang vedio.

Katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan lebih awal daripada apa yang akan dilaksanakan diperingkat pusat dan kini telah menerapkan pengetahuan ICT bermula di peringkat sekolah rendah lagi.

Malah katanya, kini kesemua murid bermula empat, lima dan enam serta tingkat satu dan dua sudah ada e-book masing-masing dan dalam program e-book ini ada program permainan yang menguji minda pelajar dan boleh membantu meningkatkan pelajaran.

 “Jangan ingat pengisian permainan yang ada dalam e-book boleh menganggu pelajaran mereka sebaliknya dapat membantu perkembangan minda untuk menjadi lebih cemerlang dalam menguasai IT,” katanya.