Halaman

13 December 2012

TERENGGANU MUNCUL JUARA UJIAN KELAS KAFA 2012

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Terengganu mencipta sejarah lagi dalam arena pendidikan apabila muncul sebagai negeri jumlah tertinggi murid mendapt 8A dalam Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012.

Hal ini diumumkan sendiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharon di Putrajaya kelmarin. Menurut beliau.tiga belas buah negeri mencatatkan keputusan lulus seratus peratus dalam peperiksaan Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012 berbanding 12 buah negeri pada tahun lepas.

Katanya, hanya Wilayah Persekutuan mencapai keputusan 99 peratus lulus.

"Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011. Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan itu.

Katanya bagi kelulusan mengikut mata pelajaran pula, subjek Amali Solat mencatat kadar kelulusan tertinggi iaitu 99.93 peratus diikuti Penghayatan Cara Hidup Islam 99.91 peratus manakala bidang al-Quran 98.47 peratus.

 Seramai 186,966 calon menduduki peperiksaan UPKK 2012 yang diadakan dari 1 hingga 4 Okt lepas. Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Pendidikan Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengulas perkara ini berkata, inilah suatu kejayaan lagi yang perlu kita syukuri.