Halaman

11 December 2012

Sidang DUN: Terengganu tidak bercadang menaikkan tarif air

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri tidak bercadang menaikkan tarif air di Terengganu walaupun menyedari mengalami sedikit kerugian dan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata tarif air yang dikenakan kepada pengguna Terengganu antara yang terendah berbanding beberapa negeri lain.

 Katanya, Pulau Pinang dan Kedah sudah lama mengenakan tarif baru dan Terengganu tidak bercadang mengikut apa yang dilaksanakan negeri itu.

“Sebaliknya kita akan meneruskan subsidi seperti yang ditetapkan supaya rakyat Terengganu terus mendapat bekalan air bersih.

“Kita tetap mensasarkan sehingga 100 peratus bilangan pengguna mendapat bekalan air menjelang 2013 walaupun terpaksa menanggung pelbagai kenaikan kos penyelenggaraan dan perkhidmatan,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Haji Mohd Wahid Endut (Pas-Wakaf mempelam pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

 Katanya, kerajaan negeri mengakui prestasi kewangan Satu mengalami sedikit kerugian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 “Keadaan itu tidak mendatangkan masalah kepada syarikat itu untuk meneruksan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat,” katanya.