Halaman

12 December 2012

Sidang DUN: 4,071 unit rumah sudah didiami pemilik

Oleh:Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini bahawa sebanyak 4,071 unit rumah yang dibina kerajaan negeri  sudah didiami pemilik sepanjang tempoh Januari 2008 hingga November 2012.

 Daripada jumlah itu, sebanyak 2,700 unit melibatkan Rumah Mampu Milik (RMM) dan selebihnya Rumah Kos Rendah (RKR) serta Rumah Kos Tinggi (RKT).

“Dalam tempoh sama, kerajaan telah melaksanakan 28 projek RKR dan RMM melibatkan 8,846 unit rumah dengan perbelanjaan mencecah RM782.18 juta.

 “Daripada jumlah ini, 13 projek sudah pun siap dan 15 projek lagi masih dalam pembinaan,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepuh).

 Katanya, pada tahun depan sebanyak RM72.50 juta diperuntukkan untuk meneruskan pembinaan rumah sedia ada di samping melaksanakan projek-projek baru.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Perumahan) ada menerima sebanyak 24,724 pemohonan terhadap rumah-rumah yang dibina.

 “Daripada jumlah itu, sebanyak 15,008 pemohonan sudah dipanggil temuduga dan 2,449 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan, manakala selebihnya masih lagi semakan dan siasat,” katanya.