Halaman

12 December 2012

Sidang DUN: Nafi dakwaan Pas, 11.7 peratus murid tercicir

Oleh: Suriati Ali 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan dakwaan Pas kononnya 11.7 peratus murid di Terengganu tercicir daripada meneruskan pelajaran ke sekolah menengah pada tahun lalu.

"Sebaliknya jumlah sebenar murid tercicir hanya 24 murid atau 0.11 peratus daripada keseluruhan  22,791 murid sekolah.

 “Daripada jumlah itu, 16 orang adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua dan SK Sungai Pergam dan oleh itu, saya harap setiap tuduhan dipastikan terlebih dahulu kesahihannya sebelum disebarkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ramlan Ali (BN-Jabi), semalam.


Katanya, kebanyakan masalah keciciran berlaku disebabkan mereka tidak dapat dikesan kerana menyambung persekolahan di sekolah-sekolah swasta tidak berdaftar atau belajar di luar negara.

"Januari hingga November tahun ini.seramai 319 pelajar sekolah di Terengganu dikesan tercicir daripada menyambung pelajaran sepanjang 


“Daripada jumlah itu, 62 adalah murid sekolah rendah manakala 257 orang pelajar sekolah menengah.

"Bagi pelajar sekolah menengah pula mereka tercicir kerana tidak membuat rayuan kepada sekolah atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPNT) selepas dikenakan tindakan walaupun dibenarkan merayu," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil inisiatif mengesan pelajar-pelajar yang tercicir dan memberi pilihan kepada mereka mengikuti kelas atau kursus kemahiran dalam usaha menjamin masa depan lebih cerah.

 “Kita menyediakan banyak peluang kepada pelajar-pelajar ini melanjutkan pelajaran ke dalam bidang lain, antaranya Tesdec yang menawarkan kursus kemahiran pada usia seawal 15 tahun dan kolej vokasional yang akan beroperasi tahun depan.

 “Kolej Vokasional ini boleh disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan satu dan harap dengan usaha-usaha ini jumlah keciciran pelajar akan berkurangan pada masa akan datang,” katanya.