Halaman

29 December 2012

PITC Labur RM40 Juta Bina Kompleks Tekstil Kedua

 Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Industri Tekstil China (PITC) bersetuju melabur RM40 juta bagi membina kompleks tekstil kedua di Bandar Baru Kijal, Kemaman.



 Pengerusinya, Dai Bing Nam berkata, PITC akan menjadikan Bandar Baru Kijal sebagai hab tekstil yang terbesar di Asia Tenggara bagi persatuan itu berikutan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan prasarana pelaburan terbaik untuk industri tersebut.

 Menurutnya, PITC akan mengeksport barangan tekstil terus dari China ke kompleks itu melalui Pelabuhan Teluk Kalong di Kemaman serta sokongan logistik melalui pembinaan Pelabuhan Darat Bandar Baru Kijal pada tahun depan.


“Kita mahu mencari peluang pelaburan yang baik dan Terengganu mempunyai prasarana kemudahan yang diperlukan seperti di kawasan Bandar Baru Kijal ini yang berdekatan dengan kawasan perindustrian Telok kalong,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PITC dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi perlaksanaan projek itu di Kompleks Tekstil Bandar Baru Kijal, Kemaman semalam.

 PITC diwakili Dai Bing Nam manakala MPK oleh Yang Dipertuanya, Dato’ Mustafar Khalid dengan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw serta 40 deligasi dari PITC.



 Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, pelaburan kerajaan negeri dengan kerjasama PITC dijangka mampu mendatangkan keuntungan untuk jangka panjang dalam industri tekstil.

 Katanya, dengan adanya kompleks itu, ia akan memberi kemudahan kepada peniaga dan penduduk di Pantai Timur khususnya mendapatkan pelbagai bahan berasaskan tekstil yang bermutu. “Ini adalah projek jangka panjang yang akan memberi keuntungan kepada peniaga tekstil. Kompleks tekstil yang akan dibina itu nanti bakal menjadi hab tekstil yang pertama seumpamanya di Pantai Timur.

 “Penduduk Pantai Timur dan peniaga tekstil tidak perlu lagi pergi jauh bagi mendapatkan barangan berasaskan tekstil serta kain yang bermutu kerana semuanya akan disediakan di kompleks di Bandar Baru Kijal,” katanya.

 Tambah beliau, Kompleks Tekstil pertama yang bernilai kira-kira RM40.7 juta itu telah siap pertengahan tahun lalu akan dibuka sepenuhnya untuk aktiviti jualan pada April tahun depan.

 Katanya, sebanyak 37 daripada 42 lot kompleks tekstil tiga tingkat itu akan disewa oleh pelabur-pelabur dari China dan selebihnya oleh pengusaha tempatan yang telah berminat.

 “Kita telah membuat tawaran sebanyak tiga kali kepada pengusaha-pengusaha tempatan dari seluruh negara.

 Pada asalnya kita jangkakan 10 pengusaha dan yang terakhir hanya lima yang tinggal,” ujarnya.

 Kompleks itu adalah antara lebih 12 komponen projek bagi pembangunan bandar berkenaan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM143 juta.

 Pembangunan di tanah seluas 160 hektar itu turut melibatkan bangunan komersil, pelabuhan darat, balai polis dan bomba, Jabatan Kastam dan Imigresen, perumahan dan institusi pengajian tinggi serta hospital dan mahkamah baru untuk Daerah Kemaman.