Halaman

13 December 2012

Pasar Payang akan diubahsuai

 Oleh: Suriati Ali 




 Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) yang sememangnya terkenal sebagai salah satu daya tarikan utama pelancong di Terengganu akan diubahsuai dan dinaiktaraf bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.


 Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, berkata pengubahsuaian PBKP kepada pasar yang lebih kondusif terpaksa dilakukan memandangkan bangunan asal kini tidak lagi selesa bagi menampung bilangan pengunjung yang semakin bertambah.

 "Pembinaan siling asal yang terlalu rendah menyebabkan keadaan di dalam pasar itu terlalu panas terutama apabila terlalu ramai pengunjung, jadi kerajaan negeri akan mengubahsuai pasar itu dengan peruntukan sebanyak RM8 juta," katanya.
Beliau berkata, reka bentuk PBKP baru itu nanti menitikberatkan ciri-ciri Melayu Terengganu untuk disesuaikan dengan konsep Bazar Warisan dan beberapa bangunan lain yang terletak di kawasan berhampiran.

 "Semasa pengubahsuaian itu dilakukan peniaga sedia ada akan dipindahkan dengan sebahagian daripada mereka akan ditempatkan sementara di tempat letak kereta bertingkat PBKP.

 “Manakala bagi peniaga barangan basah seperti ikan dan ayam pula akan dipindahkan ke Pasar Chabang Tiga," katanya ketika menjawab soalan YB Dr Haji Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 Katanya, apabila siap pengubahsuaian kelak, peniaga barangan basah dan peniaga produk lain seperti sutera, songket dan batik diasingkan di mana peniaga ikan dan ayam akan terus kekal di PCT.

Langkah itu penting kerana barangan basah dianggap tidak sesuai jika berada di bawah satu bumbung atau berdekatan dengan produk lain, termasuk barangan kraf dan makanan tradisional.

 “Pada masa sama, kerajaan ingin mendidik peniaga barangan basah supaya lebih berdisplin dan pandai menjaga kebersihan dan bukannya sikap pengotor seperti yang diamalkan sekarang dengan membuang ikan busuk dan perut ayam di dalam sungai,” katanya.

 Menteri Besar turut memberitahu, bahagian barangan basah di PBKP sebenarnya sudah tidak selamat dan ia disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyatakan besi struktur lantai di pasar itu sudah reput.