Halaman

05 December 2012

MB bentang Bajet 2013 Isnin depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, yang akan bersidang selama empat hari mulai 10 Disember depan.

Mengikut jadual persidangan DUN Terengganu, Menteri Besar akan membentangkan Bajet 2013 pada hari pertama persidangan itu. Bajet berkenaan akan menjana ekonomi dan pelbagai program pembangunan negeri ini bagi tahun 2013.

Ini merupakan pembentangan bajet kali kelima yang akan dibentangkan Dato’ Seri Haji Ahmad sejak beliau menerajui pemerintahan negeri ini mulai tahun 2008.

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM1.95 bilion bagi Bajet 2012 yang bertemakan “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” iaitu pertambahan RM62.07 juta atau 3.29 peratus berbanding Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM112.2 juta digunakan bagi membiayai Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.838 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.