Halaman

16 December 2012

Lebih banyak forum cegah jenayah akan diadakan

Forum mengenai keselamatan keluarga akan diperluaskan di seluruh negeri bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keselamatan keluarga mereka dan langkah-langkah untuk mencegah jenayah.



Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah itu penting bagi membolehan penduduk di negeri ini mendapat input-input dan ‘tips’ bagi mencegah jenayah yang berlaku di sekitar kawasan mereka.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini banyak jenayah berlaku melibatkan suri rumah dan ahli keluarga penduduk tempatan di mana ia boleh dicegah jika mereka didedahkan dengan kaedah keselamatan menjaga diri.

“Kita tidak tahu bila penjenayah akan melakukan kegiatan mereka dan ia boleh berlaku di mana-mana saja. Jika rakyat negeri ini tahu kaedah menjaga diri masing-masing, perkara yang tidak diingini boleh dicegah jika mereka didatangi penjenah berkenaan,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Perdana “Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita” yang diadakan di Bangunan Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri Seberang Takir di Seberang Takir, malam kelmarin.

Sempena forum berkenaan turut diadakan demonstrasi bagi mengelakkan penjenayah ditunjukkan kepada hadirin yang menyertai forum tersebut.

Dato’ Ahmad Razif berkata, berdasarkan sambutan yang menggalakkan pihaknya bercadang untuk mengadakan lebih banyak forum seumpama itu bagi memberi peluang orang ramai mendapatkan tips bagi mencegah jenayah.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta bantuan Kelab Pencegahan Jenayah Cawangan Negeri Terengganu bagi menjayakan forum berkenaan ke kawasan lain di seluruh negeri.