Halaman

17 December 2012

Kerajaan warta kawasan padi kekal

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bercadang mewartakan seluas 24,000 hektar sebagai kawasan padi kekal di negeri ini bagi memberi jaminan ia dapat diusahakan secara berterusan oleh golongan petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, langkah ini diambil berikutan kebimbangan tanah-tanah padi di negeri ini sudah banyak bertukar menjadi tanah perumahan kerana ditukar syarat

“Usaha ini juga sebagai jaminan kepada rakyat bahawa bekalan makanan utama itu tidak tergugat dan sentiasa mencukupi untuk keperluan tempatan,” katanya.

Katanya, ini satu projek besar sumbangan kerajaan untuk rakyat dan sanggup mewujudkan jelapang padi sendiri tanpa mendapat subsidi dan insentif daripada kementerian di peringkat awalnya.

“Kita mengambil langkah awal dengan membina Jelapang padi di Kampung Jelapang Setiu seluas 100 hektar dengan kos kemudahan asas lebih RM50 juta,” katanya

Katanya, setelah melihat kejayaan petani di Setiu, kerajaan akan memberi tumpuan di kawasan baru iaitu di daerah Marang.

“Saya yakin kita mampu mewujudkan jelapang padi kedua di negeri ini, kerana Marang mempunyai banyak kawasan padi yang luas untuk dibangunkan,” katanya.