Halaman

15 December 2012

Kerajaan peruntukkan RM43 juta bagi basmi kemiskinan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM43 juta pada tahun depan bagi membiayai program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan meneruskan Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan dan Program Latihan Kemahiran & Kerjaya pada tahun depan.

 “Di bawah Program Jaya Diri kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) pula, dijangkakan seramai 1,000 keluarga mudah miskin akan mendapat manfaat menjana dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Tidak dilupakan, generasi kedua keluarga miskin turut diberi perhatian melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Kolej Bestari supaya mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan mengelakkan daripada mewarisi kemiskinan keluarga ,” katanya ketika membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Menteri Besar berkata, program motivasi turut dilaksanakan supaya dapat mengubah minda mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Di samping itu, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM47.46 juta bagi pelbagai bantuan yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk kepada 21,000 penerima bantuan am negeri.

“Bagi Bantuan Bina Baru Rumah, kerajaan telah membuat beberapa penambahbaikan dan ini telah meningkatkan kos pembinaan daripada RM33,000 seunit kepada RM40,000 seunit.

 “Sebanyak 320 unit rumah baru akan dibina pada tahun 2013 iaitu 10 unit setiap DUN,” katanya.