Halaman

23 December 2012

Kerajaan BN mampu beri perkhidmatan terbaik

 Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

 Pemimpin setempat, termasuk imam dan bilal di Terengganu diminta memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pasti pihak itu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai pemimpin sewajarnya mengajak masyarakat untuk bersama-sama memberi dokongan supaya kerajaan sedia ada terus memerintah dan menjaga keharmonian negeri.

 “Adakah kita sanggup memilih pembangkang di mana secara realitinya gemar mengeluarkan fatwa mengarut sehingga memecahkan hubungan kekeluargaan.

“Saya membuat anologi bahawa beberapa bom yang diletakkan oleh pemimpin Pas kini meletup dan terkena mereka sendiri.

 “Bom pertama menjadi kafir jika berpakat atau berikat dengan orang bukan Islam, sepertimana fatwa pemimpin Pas sebelum ini yang dinamakan sebagai kafir berikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Hadir sama pada majlis itu,Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta Barisan Nasional.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dihadiri lebih 2,000 peserta terdiri daripada penghulu, ketua kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam dan bilal dari seluruh Terengganu.

Menteri Besar turut memberitahu bom itu dipasang oleh pemimpin untuk orang Umno yang bermuafakat dalam Perikatan atau sekarang Barisan Nasional (BN).

“Akhirnya bom itu meledak ke muka mereka sendiri apabila Pas kini bersama dalam pakatan dengan DAP (bukan Islam) dan berbagai lagi, bahkan tindakan DAP menentang Islam menjadikan bom itu meledak lebih kuat lagi,” katanya.

 Katanya, bom kedua Pas ialah dengan mengatakan Umno menjadi kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah yang diasaskan oleh Lord Reid; sehingga Haji Hadi membuat fatwa menentang Umno itu jihad dan kalau mati adalah syahid, seperti peristiwa di Memali.


 “Apabila Pas memerintah beberapa negeri perlembagaan kafir itulah juga yang dikekalkan. “Bom ketiga yang pemimpin Pas memerangkap Umno dengan mengatakan Umno menentang hukum Allah kerana tidak melaksanakan Hukum Hudud dan jika Pas diberi kuasa akan melaksanakannya sebelum ‘ayam berkokok”.

 “Tetapi apabila Pas berkuasa, hukum hudud tidak dijalankan dan apabila ditanya Haji Hadi menjawab hukum hudud itu kecil sahaja iaitu satu persepuluh ribu (0.0001) sahaja dari keseluruhan perundangan Islam” katanya. .