Halaman

24 December 2012

JPJ tingkat rondaan musim banjir

Oleh: Suriati Ali

 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh dengan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko kemalangan maut.

 Pengarah jabatan itu, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie, berkata banyak tempat boleh berlaku kemalangan kerana keadaan permukaan jalan raya ketika hujan sangat licin, selain terdapat banyak lubang.

 Katanya, keadaan itu boleh mengakibatkan pelbagai risiko, sekaligus boleh mencatatkan kadar kemalangan lebih tinggi berbanding hari biasa.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhui peraturan yang ditetapkan supaya risiko kemalangan maut dapat dielakkan.

 “Pihak kami belum memutuskan untuk membekukan cuti mana-mana kakitangan bagi menghadapi musim banjir, bagaimanapun jika terdesak, tindakan itu akan dilaksanakan ,” katanya kepada pemberita selepas

Majlis Santai Bersama JPJ di Ri-Yaz Heritage Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi. Hadir sama, Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman dan President Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

 Lebih 100 pengamal media pelbagai agensi dan kakitangan JPJ hadir majlis itu yang turut diselitkan dengan Program Cit-Cat.

 Katanya, JPJ dan pengamal media sentiasa diperlukan bagi melaporkan berita terkini kepada masyarakat, oleh itu diharapkan hubungan seumpama ini terus berkekalan.