Halaman

14 December 2012

Graduan UMT mudah dapat kerja

Lebih 60 peratus graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada tahun ini berjaya mendapat peluang pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu sekitar 30 peratus sahaja. Katanya, ia menunjukkan potensi graduan universiti itu semakin mendapat perhatian dan tempat dalam industri terutamanya melibatkan bidang sains marin dan laut. "Kita telah membuat kajian di mana graduan UMT berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja menduduki peperiksaan akhir dan kebanyakan mereka telah bekerja ketika hadir pada hari konvokesyen.
"Sebahagian mereka juga berjaya mendapat kerjaya yang baik malah berjawatan tinggi dalam pelbagai bidang terutamanya berkaitan marin di mana ia merupakan bidang tumpuan UMT," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Cari Kerja 1 Graduan 1 Kerjaya di UMT, Kuala Terengganu baru-baru ini. Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Disember itu menyediakan 12 gerai pameran daripada pelbagai agensi dan jabatan. Dalam pada itu, Prof Dr Yahaya berkata, pihaknya akan mengumpul dan mengemaskini data-data pelajar dari semasa ke semasa bagi memperoleh maklumat terkini status pekerjaan graduan mereka. Jelasnya, graduan UMT mempunyai kelebihan tersendiri dalam industri apabila memiliki kemahiran insaniah yang jarang dimiliki graduan universiti lain seperti memiliki lesen skuba. "Mereka mempunyai kemahiran tambahan yang memudahkan mereka mendapat tempat dalam industri dan kita yakin peratus graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian akan meningkat setiap tahun," jelasnya. Dalam pada itu, beliau turut meminta lebih banyak agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri ini terlibat dalam karnival kerjaya yang diadakan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan didedahkan kepada pelajar.