Halaman

23 December 2012

Golongan muda sokong Umno, BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sokongan golongan muda kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin terserlah apabila mereka sentiasa memberi sokongan padu terhadap program-program yang dianjurkan oleh Umno dan BN di Terengganu sejak kebelakangan ini.



Terbaru, lebih 5,000 muda mudi membanjiri padang bola Kampung Bahagia, Manir, semalam, bagi menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, mereka membawa pelbagai sepanduk bagi melahirkan sokongan golongan muda kepada Umno dan BN.

Sepanduk berbunyi “Orang Muda Sokong BN” menarik perhatian Timbalan Presiden Umno itu apabila beliau menyebutnya dalam ucapan di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola berkenaan.

“Saya tengok ramai orang muda yang datang ke majlis ini bagi memberi sokongan kepada Umno dan BN. Mereka bawa sepanduk lagi bagi menzahirkan sokongan tersebut,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 5,000 belia yang turut berada di majlis berkenaan.

Lebih 20,000 orang hadir pada majlis itu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.


Jelas sekali kehadiran golongan muda amat menggembirakan Timbalan Perdana Menteri yang menaruh harapan besar agar sokongan seumpama itu diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pada bulan lalu, lebih 4,000 pemuda dan pemudi membanjiri Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam bagi menghadiri majlis Himpunan Generasi Muda Marang yang turut dihadiri Menteri Besar.

Dengan sokongan golongan itu, pelbagai pihak menaruh keyakinan Umno dan BN akan menang PRU 13 di Terengganu dan seluruh negara.