Halaman

28 December 2012

BN Diminta Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin meminta semua jentera Barisan Nasional dan pemimpin tempatan agar turun padang membantu mangsa banjir termasuk membersihkan rumah penduduk.

Menurut beliau, pasukan sukarelawan terbabit yang akan dibantu pihak keselamatan diminta memantau rumah-rumah yang ditinggalkan kerana penghuninya berpindah.

 “Di mana ada ahli dan pemimpin Barisan Nasional di situ aka nada bantuan. Ini pendekatan kita kerana kita dekat dengan rakyat.

 "Jaminan yang saya berikan pasukan keselamatan akan memantau dan menjaga keselamatan termasuk rumah yang ditinggalkan di samping memberi kerjasama kepada skuad sukarelawan," katanya selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman.

 Turut serta isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Noriah Kasnon.

 Kata Muhyiddin, dengan jaminan itu, penduduk tidak akan khuatir untuk berpindah seperti yang dilaporkan sebelum ini.

 Mengenai sekolah yang terlibat banjir termasuk dijadikan pusat pemindahan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan untuk menangguhkan sesi persekolahan hanya akan diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

 Beliau juga berkata bantuan seperti bekalan makanan dan keperluan diri adalah mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir.

 "Kita minta perhatian khusus diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak dan makanan pula perlulah dipelbagaikan. "Soal kesihatan dan bekalan air bersih juga sangat memuaskan dan kerajaan sangat komited menjaga keperluan rakyat," katanya.