Halaman

30 December 2012

Banjir hampir pulih

Oleh: Aida Abd Rahman

Banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya 662 mangsa berada di enam pusat pemindahan di seluruh Terengganu sehingga jam 1.30 petang ini berbanding 2,617 mangsa sehingga 8.30 pagi tadi.

Menurut Portal Kenyatan Banjir negeri Terengganu, lima daripada enam pusat pemindahan berkenaan di sekitar Dungun, iaitu Dewan Sivik Batu 48 (397 mangsa), Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah (tiga), bangunan JKKK Nyior (lapan), Balai Raya Kampung Durian Mentangau (22, ) dan Dewan Majlis Sukan Negara (113).

Sementara satu lokasi pemindahan di Kuala Terengganu ialah di Sekolah kebangsaan Kompleks Gong Badak yang menempatkan seramai 119 mangsa.

 Kesemua mangsa terdiri daripada 168 keluarga. Jumlah mangsa yang berpindah menurun dengan ketara selepas cuaca cerah dan tiada hujan lebat dilaporkan di beberapa daerah sejak pagi tadi.

 Kesemua daerah juga dilaporkan pulih sepenuhnya kecuali di beberapa kawasan di Dungun dan Kuala Terengganu.

Sebelum ini, seramai 2,617 mangsa dilaporkan masih ditempatkan di pusat pemindahan sehingga pagi tadi, berbanding 15,529 mangsa pada petang semalam.