Halaman

27 December 2012

5,193 keluarga berpindah akibat banjir di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato' Haji Mazlan Ngah
Banjir yang melanda di negeri ini sejak 22 Disember lalu menyebabkan 20,929 orang daripada 5,193 keluarga di seluruh negeri ini berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata sehingga ini 193 pusat pemindahan telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di negeri ini.

Beliau berkata, setakat jam 8 pagi ini (27 Disember 2012), terdapat 11,340 orang daripada 2,869 keluarga masih berada di 77 pusat pemindahan di seluruh negeri.

“Keadaan banjir di negeri Terengganu beransur pulih berikutan sebahagian pusat pemindahan telah ditutup di daerah Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai keadaan banjir di negeri ini ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Bilik Orang Kenamaan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang ini.

Terdahulu ketibaan Timbalan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman, disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dato’ Haji Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, berkata kerajaan negeri telah menyediakan sejumlah bajet yang besar dalam pengurusan bencana agar kesejahteraan dan kebajikan rakyat terjaga.

Beliau berkata, banjir yang melanda negeri ini setakat ini telah meragut empat nyawa di mana kes pertama dilaporkan pada 25 Disember apabila seorang suri rumah lemas selepas dipercayai terjatuh dalam air bah di Kampung Sri Bayah, Permaisuri, Setiu.

Selepas taklimat itu, Timbalan Perdana Menteri serta isteri dan rombongan menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melawat kawasan banjir di daerah Kemaman.