Halaman

31 December 2012

132 pelajar terima beg dan peralatan sekolah

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 132 pelajar Sek Keb Tok Dir hari ini menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah sempena program ‘Back To School’ anjuran Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu dengan kerjasama Pergerakan Puteri Umno Bahagian Marang.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, program ini merupakan acara tahunan Pergerakan Puteri Umno Malaysia dan dilaksanakan di setiap negeri.

"Peruntukan sebanyak RM5000 bagi menjayakan program ‘Back To School’ telah diberikan kepada setiap negeri dan menjadi tanggungjawab kami untuk salurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Bagi negeri Terengganu, Parlimen Marang telah dipilih dan setiap pelajar kurang berkemampuan yang telah dikenalpasti oleh pihak pengurusan sekolah ini menerima sumbangan dalam bentuk beg dan peralatan sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian dan penyerahan sumbangan sempena program ‘Back To School' dan Agihan Bantuan Pakaian Sekolah di sekolah tersebut, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan Ketua Puteri UMNO Marang, Puan Marina Endut.

Katanya, memasuki tahun keempat dianjurkan program yang dibuat secara gilirin di setiap parlimen di negeri ini dulunya pernah diadakan di Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Pergerakan Puteri Umno sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan dan diharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan barangan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjaga kebajikan rakyat terutama yang melibatkan pendidikan, justeru beliau mengharapkan sokongan penuh daripada penduduk setempat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti agar nasib rakyat terus terbela di bawah pimpinan kerajaan BN.