Halaman

06 November 2012

Umno Bahagian cakna DUN Ladang

Oleh: Noraini Jusoh 

Demi bagi memastikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sentiasa mendapat maklumat yang tepat, UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak memandang ringan terhadap perkara ini.


Justeru, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (gambar), baru-baru ini telah turun padang untuk menjelaskan isu Ladang Gemilang yang sengaja dimainkan pembangkang kepada penghuni pangsapuri terbabit.

Menurutnya, penghuni di pangsapuri Ladang Gemilang tidak seharusnya percaya bulat-bulat apa yang dilontarkan puak pembangkang melalui pelbagai medium komunikasi yang sengaja menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

“Sebenarnya tujuan kerajaan negeri membina pangsapuri ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada penduduk dengan mewujudkan satu perkampungan baru yang lebih tersusun.

 “Jika dahulu, penduduk kampung Ladang terpaksa tinggal di rumah yang serba daif dan kebersihan kawasan sekitarnya yang kurang terjamin, sekarang perkara tersebut tidak lagi timbul,” katanya ketika ditemui Teganukita pada program salam sayang anjuran Wanita Umno pangsapuri Ladang Gemilang 1, baru-baru ini.

Katanya, pemberian pampasan yang sepatutnya juga telah diterima penduduk, di mana tapak rumah asal dan tanah mereka diambil untuk pembinaan pangsapuri terbabit.

 “Tidak seperti yang belaku di Pulau Pinang, setelah mendapat tanah penduduk dihalau, Kerajaan Terengganu sangat prihatin dengan membina semula sebuah pangsapuri yang serba lengkap untuk mereka,” ujar beliau.

Beliau turut menasihatkan penghuni di pangsapuri terbabit agar membayar sewa secara teratur dalam tempoh tiga tahun untuk melayakkan mereka menukar rumah dengan syarat sewa beli.

“Syarat sebegini ditetapkan bukan untuk menyusahkan pemilik, tetapi untuk mengelakkan mereka memberi sewa atau menjualnya kepada orang lain.

 “Kerajaan negeri membuat pembangunan di kampung Ladang adalah untuk kepentingan penduduk asalnya dan diharap mereka menghargainya,” ujarnya.

 Menjawab soalan berkaitan program ‘e-Kasih’ yang diutarakan oleh seorang penduduk, katanya, buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti mereka yang betul-betul layak untuk menerima rumah di bawah skim ‘e-Kasih’.

 “Ramai penghuni di sini yang memohon, justeru pihak kami sedang memproses maklumat dengan terperinci agar mereka yang betul-betul memerlukan akan mendapat manfaat,” katanya.