Halaman

16 November 2012

Umat Islam perlu jadi contoh – mb

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mahu umat Islam di negeri ini menjadi contoh kepada penganut agama lain dengan cara menghayati ajaran Islam yang mengutamakan perpaduan dan tidak berbalah sesama sendiri.



Beliau mahu umat Islam mengamalkan hidup sederhana dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.

“Dengan mengamalkan cara hidup yang sederhana kita harap masyarakat negeri ini akan hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Khalifah, Taman Jaya, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat pada majlis itu dan menyempurnakan perasmiannya.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat; ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Masjid berharga RM4 juta itu pada asalnya sebuah surau, tetapi dinaiktaraf menjadi masjid bagi menampung keperluan jemaah di kawasan berkenaan. Masjid yang mampu menampung 1,000 jemaah itu merupakan antara 131 buah masjid yang terdapat di daerah Kuala Terengganu.