Halaman

26 November 2012

Tuntutan guru direalisasi menerusi kesatuan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bekas pemimpin dalam kesatuan guru sudah banyak berjasa kepada golongan pendidik masa kini khususnya membawa pelbagai tuntutan golongan itu kepada kerajaan sehingga ia mampu direalisasikan.

Presiden Persatuan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab (KKGGLM), Datuk Jemale Paiman, berkata berdasarkan temu ramah dengan pemimpin kesatuan sebelum ini, banyak pengorbanan dan khidmat bakti golongan itu dalam memartabatkan profesion perguruan di negara ini.

“Dalam temu bual (tayangan multimedia), kita menyedari bagaimana pemimpin terdahulu memperjuangkan nasib guru untuk kenikmatan yang terdapat pada pada hari ini. Pada satu ketika mereka mendapat gaji bulanan lebih kurang campur tolak hanya sekitar RM200. Tetapi hari ini guru yang baru keluar universiti mendapat gaji pertama campur tolak lebih kurang RM2,500.

“Kalau dulu guru datang sekolah hanya berjalan kaki, motosikal Vespa, kalau nasib tidak baik tayar belakang tercabut, kerana jalan tidak elok, tetapi hari ini guru ke sekolah akan berdepan masalah tempat meletak kenderaan,” katanya ketika berucap di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Datuk Jemali berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa transformasi pendidikan sedikit sebanyak memberi kenikmatan, kemudahan dan memberi kehidupan yang selesa kepada warga pendidik serta keluarga mereka.

 Sebagai presiden kesatuan itu, beliau merakamkan penghargaan tidak berbelah bahagi kepada bekas pemimpin yang menerajui KKGLMSM sejak 1962 sehingga berupaya meletakkan pertubuhan itu antara kesatuan yang disegani dan banyak memperjuangkan nasib golongan pendidik di negara itu.

 “Tidak dinafikan sejak 50 tahun lalu begitu banyak tuntutan yang sudah mendapat perhatian kerajaan. Namun begitu masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi martabat golongan pendidik di mata dunia khususnya oleh kepimpinan hari ini dan masa depan,” katanya.

 Untuk rekod, kejayaan awal hasil perjuangan KKGLMSM yang kini dianggotai lebih 12,000 ahli di seluruh negara adalah PARITI iaitu gaji permulaan yang sama antara guru sekolah menengah dan rendah yang mempunyai kelulusan yang sama, Gaji Aziz, Gaji Kabinet, gaji persamaan guru wanita dan lelaki, Perkhidmatan 2 Skim, Time Base Promotion dan Guru Cemerlang.